Selamat Datang!

Terima kasih kerana melawat jurnal maya ini. Anda akan merasai pengalaman penulisan kreatif yang dinukil dari sudut berbeza dengan gaya bahasa sederhana dan ekplorasi lebih bebas dalam menemukan Bahasa Malaysia dan Indonesia di dalam karya tanpa menjejaskan ketinggian bahasa-bahasa tersebut. Di sini juga terdapat karya dalam Bahasa Inggeris.





Ikut Kepala Aku - Di sini

Friday, May 25, 2012

Kerja Sambilan

Cerita Mini 100 Kata
Karya: Ibnu Din Assingkiri


Kerja Sambilan


Ah Chai memberhentikan motosikal. Sasarannya lelaki Cina berbaju merah. Mungkin bekas gangster atau seorang hakim. Dia tak pernah ambil peduli tentang sasaran. 


Kos sara hidup semakin menjerut lehernya. Sejak itulah dia membuat kerja sambilan. Kerjanya mudah, cuma tembak sampai mati dan akan dibayar lima ribu ringgit.


Dari arah belakang lelaki itu Ah Chai membidik pistol ke kepala. Lima das tembakan mengenai sasaran. Ah Chai bergegas menaiki motosikal dan meninggalkan tempat itu. Belumpun sampai ke rumah, telefonnya berbunyi. 


“Hello, Ah Chai bapak lu mati, kena tembak di kedai kopi Ah Seng.” 


Ah Chai pucat lesi. Dia baru menyelesaikan tugas di situ.




(c)Sanusi Din, All Rights Reserved

Thursday, May 24, 2012

Pelaburan Halal

Cerita Mini 100 Kata
Karya: Ibnu Din Assingkiri

Pelaburan Halal

Dia mengetuk-ngetuk pen di meja. Dia marah kerana lama menunggu. Sudah berapa kali dia melihat jam. Orang yang ditunggu tak kunjung datang... Selang limabelas minit seorang lelaki mendekatinya.

“Encik Malikkah? Saya Amir.”

“Hem...,” Malik berbunyi, “macam mana Melayu nak maju, tak tepati masa.”

“Maaf, susah cari parkir.”

“Alasan..., ok, boleh jelaskan tentang jaminan pelaburan halal yang dimaksudkan. Saya tak akan melabur wang ke ‘unit trust’ yang haram.

“Ini dokumen tentang panel syariah dan syarikat-syarikat yang telah disahkan halal. Kami hanya melabur di sana.”

“Boleh beritahu pekerjaan Encik Malik?”

“Pengurus Besar, *Calsberg Brewery”

“Astaghfirullahalazim!”

Amir bangun dan terus berlalu dari situ.


*perusahaan bir beralkohol, Calsberg
©Sanusi Din, All Rights Reserved

Lihatlah Wajahmu

Cerita Mini 100 Kata
Karya: Ibnu Din Assingkiri

Lihatlah Wajahmu

Anak-anak mereka sedang dibuai mimpi. Mereka masih menganalisa bukti-bukti. Mungkin kes-kes pembunuhan wanita penyanyi kelab malam dilakukan oleh pembunuh bersiri.  Jack menghirup kopinya. Kosong. Sandwicpun telah habis. Jack memberi isyarat kepada Anne untuk membancuh kopi lagi. Anne ke dapur dan kembali dengan mug berasap.

“Bingo!”

“Sudah dapat kaitannya?” Tanya Anne.

“Yup!”

Mereka bergegas ke Hotel Flamingo dan masuk ke kelab malam.

“Itu dia orangnya.” Jack menunjuk kepada wanita bergaun biru.

“Takkanlah diasayang, tak nampak seperti pembunuhpun...”

“Selalu begitu. Pembunuh kelihatan ‘innocent’.”

“Bagaimana sayang tahu?”

“’Honey’ lihatlah wajahmu.”

Anne memasang ‘silencer’ di muncung pistol dan menuju ke arah wanita itu....




(c)Sanusi Din, All Rights Reserved

Sajadah Merah Hati


Sajadah Merah Hati

tak luntur dimakan usia
tiap waktu menunggu
ciuman dan sentuhan
dingin tetes-tetes suci
menyerap pengabdian
menyaksi pengakuan
merekam penyesalan
di simpuh penyerahan

tak sirna pesan makruf
di setiap sujud-syukur
di sudut kamar suram
setulus pemberian
bingkisan pernikahan
sebagai tanda ingatan
juga sebagai peringatan
tentang kewajiban

sajadah merah hati,
bila riak memuncak
di dadamu ada penawar
inginku kecup lama-lama
di bening kusyuk,
di hening tawaduk
diamku di sana bertengger
sehingga sujud terakhir

Ibnu Din Assingkiri
23-05-2012
Bagan Lalang, Butterworth, Pulau Pinang
©Sanusi Din 2012, All Rights Reserved

Curhat


Curhat

andai ada air
dalam hati pasti
kucurahkan semuanya
tapi hatiku tak bisa
menakung air
ia telah lama retak
dan aku lupa, entah
di mana kuletak
entah aku punya
hati atau tidak

Ibnu Din Assingkiri
17-05-2012
GCAS
©Sanusi Din 2012, All Rights Reserved